Ng Pei Ven @ Cindy Ng Sekali Lagi Mengaku Tak Bersalah
Bukit Mertajam: Remaja perempuan, Ng Pei Ven, 19, yang memandu melawan arus minggu lalu, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Remaja itu yang meminta dibicarakan, menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ng yang memakai baju baju T biru dan berseluar putih dilihat tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dan Majistret Jamaliah Abd Manap kemudian membenarkan remaja itu dikenakan ikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin.
Beliau menetapkan 12 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, dia dituduh di mahkamah yang sama Jumaat lalu, mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, kerana menggunakan syabu namun tidak mengaku bersalah. Ng dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin bagi tuduhan itu.
- Meter Jambu ;