Tertuduh N. Pathmanabhan, 47, (dua, kanan) dan T. Thilaiyalagan, 25, (dua, kiri) dibawa anggota Jabatan Penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap bekas peguam itu dan dua pekerja ladangnya. -Bernama
KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap bekas peguam dan dua pekerja ladangnya kerana membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya tujuh tahun lalu telah membawa kepada kesudahan bagi satu jenayah paling kejam yang berlaku di negara ini dalam dekad-dekad yang lalu.
Pada hari yang begitu tragik, Sosilawati, yang ketika itu adalah ikon utama dalam industri kosmetik tempatan yang bernilai jutaan ringgit, telah pergi untuk bertemu peguamnya, ditemani tiga yang lain, di ladangnya di Banting untuk memintanya mempercepatkan bayaran bagi dua cek yang tarikhnya ditunda bernilai RM4 juta yang merupakan hasil penjualan tanah ikon berkenaan yang dikendalikan firma guaman lelaki itu.
Sebaliknya, mereka mati dalam keadaan mengerikan di tangan bekas peguam N. Pathmanabhan dan pekerja ladang T.Thilaiyalagan dan R.Kathavarayan dengan mayat mereka dibakar secara pembakaran mayat menggunakan kayu api.Sebaliknya, mereka mati dalam keadaan mengerikan di tangan bekas peguam N. Pathmanabhan dan pekerja ladang T.Thilaiyalagan dan R.Kathavarayan dengan mayat mereka dibakar secara pembakaran mayat menggunakan kayu api.
Pembunuhan yang kelihatan dirancang rapi seperti yang didedahkan dalam perbicaraan penuh sensasi itu mengejutkan seluruh negara kerana mereka melakukannya sehari sebelum sambutan kemerdekaan (Hari Kebangsaan) dan beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri pada 2010.
Pada 16 Mac, mahkamah tertinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman mati ke atas ketiga-tiga lelaki itu kerana membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noohisham Mohamed, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Bagaimanapun, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mengetuai sidang lima panel hakim membebaskan seorang pekerja ladang, R.Matan, 26, atas alasan kekurangan bukti untuk mengaitkan lelaki itu dengan pembunuhan tersebut.
Pada sidang akhbar, selepas dua hari penghakiman Mahkamah Persekutuan bersempena pelancaran sebuah buku hasil kompilasi penghakiman yang ditulis Hakim Arifin selama ini, beliau berkata Mahkamah Persekutuan bergantung sepenuhnya kepada keterangan keadaan untuk mensabitkan ketiga-tiga lelaki itu.
Perbicaraan kes pembunuhan Sosilawati hanya kali kedua di mana mahkamah bergantung kepada keterangan mengikut keadaan untuk mensabitkan tertuduh tanpa mayat mangsa.
Sebelum ini, ia berlaku semasa dalam perbicaraan kes pembunuhan Sunny Ang di mana pemandu Grand Prix Singapura dijatuhi hukuman mati di atas pembunuhan teman wanitanya Jenny Cheok semasa mereka menyelam skuba di perairan Singapura pada 1963. Singapura ketika itu sebahagian daripada Malaysia sebelum pemisahan pada 1965.
Dalam perbicaraan yang serupa dan penuh sensasi ini, mahkamah diberitahu bahawa motif pembunuhan itu adalah Sunny Ang telah mengambil polisi insurans berganda sebelum kehilangan Cheok ketika melakukan aktiviti menyelam dengan mayatnya tidak pernah dijumpai.
Dalam penghakimannya setebal 128 halaman dalam perbicaraan kes pembunuhan Sosilawati, Hakim Arifin berkata tempat pembunuhan merupakan kawasan hartanah milik Pathmanabhan dan Sosilawati memberikan notis kepada bekas peguam itu untuk bertemu beliau yang memerlukannya pergi ke ladang itu.
Pendek kata, apabila Sosilawati dan tiga yang lain memasuki ladang itu, peluang telah diberikan kepada ketiga-tiga tertuduh untuk menjayakan pembunuhan itu, katanya.
Beliau berkata terdapat persediaan sebelum berlaku pembunuhan itu memandangkan kayu api itu telah dibawa ke ladang dan api dilihat daripada kayu yang telah terbakar.
Tiga doktor yang memberi keterangan semasa perbicaraan berkata mereka telah memeriksa tulang manusia yang ditemui di sungai dan ladang itu namun tidak dapat membuat dapatan positif memandangkan ia telah dibakar sehingga tidak dapat dikenal.
Anak perempuan Sosilawati, Erni Dekriwati Yuliana Buhati,telah memberitahu semasa perbicaaraan bahawa ibunya telah pergi ke Banting untuk bertemu Pathmanabhan supaya membuat pembayaran bagi dua cek berjumlah RM4 juta yang dikeluarkan oleh peguam berkenaan.
Keterangan pengurus operasi Hong Leong Bank mendedahkan bahawa pada 30 Ogos, 2010, baki dalam akaun Pathmanabhan adalah kira-kira RM1.3 juta.
Dalam erti kata lain, dia tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menjelaskan dua cek yang berjumlah RM4 juta.
Usaha Bernama untuk menghubungi seorang lagi anak Sosilawati untuk mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung pembunuh-pembunuh ibunya, gagal.
Apa yang tinggal sekarang adalah bagi ketiga-tiga lelaki itu menunggu tarikh mereka digantung.