Monday, March 20, 2017

Anak Hanya Rapat Dengan Kita Sampai Umur 12 Tahun


Seperti selalu kita dengar, anak-anak ini bagaikan kain putih yang perlu dicorakkan, semasa mereka kecil, mereka memerlukan perhatian daripada kita.

Tetapi semua ini akan berubah apabila mereka mula membesar, ketika itu sebagai ibu bapa sudah pasti kita akan merasakan perubahan antara mereka dan kita.

Seperti yang  yang diceritakan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh, kisah yang cukup baik untuk dibaca oleh ibu bapa diluar sana.

~ Anak hanya rapat dengan kita hingga umur 12 tahun~

Semalam, aku mengeteh bersama 3 lagi rakan. Dari jam 11 hingga jam 1:30 pagi. Macam-macam hal kami bincang dan borakkan.

Diantara satu sisipan kopi panas, sahabat ini mula membuka topik baru.

" Anak-anak kita ni, waktu kecil sahaja rapat dengan kita. Hingga darjah 6 sahaja. Selepas itu dia mula masuk ke sekolah asrama.

Makin jauh, dan makin renggang hubungan. Jumpa pun sebulan sekali. Itu pun kalau kita tidak sibuk."

Kami bertiga mengangguk kepala. Seorang demi seorang mencelah memberi idea dan pandangan. Kesimpulannya, kami semua setuju dengan apa yang dia kata.

Benarlah. Walau anak itu tidak ke asrama sekali pun, dia dah meningkat remaja. Bila menginjak remaja, dia mula ada rahsia. Mula ada rasa ingin berteman. Mula rasa ingin ruang untuk diri mereka. Biasalah, remaja. Kita pun pernah remaja kan?

Mereka mula pandai berdikari. Tidak lagi boleh didukung kita. Tidak lagi mahu main kuda-kuda. Tidak lagi berebut nak panjat atas belakang. Nak makan bersuap jauh sekali lah.

Sahabat ini, dulunya dia punya perniagaan yang berjaya. Sehingga satu saat, dia jatuh terduduk ditipu kawan sendiri. 6 bulan tanpa kerja, berfikir dan merancang untuk strategi bisnes seterusnya.

Bila tanpa kerja, sehariannya hanya di rumah. Menghantar anak ke situ sini, membantu anak membuat kerja sekolah, melayan apa jua permintaan mereka. Penat. Tapi dia puas. Letih, tapi hubungan dia dan anak lebih berkualiti dan rapat.

" Agaknya Allah sengaja uji aku agar aku sedar dan beri peluang untuk aku lebih rapat dengan anak-anak," ujarnya sambil menguntum senyum.

Kini dia mula melebarkan empayarnya sedikit demi sedikit. Makin kukuh dan berjaya empayar baru ini. Lebih gah dan besar berbanding bisnes dulu. Tapi kali ini, dia sudah pandai bahagi masa untuk bersama keluarga dan anak-anak. Allah dah 'tegur' dia dulu, kali ni dia ingat.

Kalau kita ada anak kecil, luangkanlah masa bersama mereka walau sesibuk mana pun. Biar ada memori untuk mereka dan kita kenang dimasa akan datang.

Sekejap sahaja anak ini membesar. Jangan kita tersedar bila mereka telah pun pandai berdikari. Saat mereka telah pun meningkat remaja.

Masa itu kita akan rindukan anak kecil kita yang minta kita buatkan susu. Yang minta sapukan jem pada rotinya.

Jangan terlampau sibuk dengan dunia sehingga terlupa; harga anak itu jauh lebih bernilai dari dunia dan segala isinya.

Jangan sehingga anak itu membesar, hanya kenangannya dengan bibik yang kekal diingatan. Jangan!

#MFS

* Anak itu harta dunia akhirat.

Meter Jambu